919 unit PPRT akan dibina guna teknologi IBS

SEREMBAN, 8 Feb — Sebanyak 60 peratus atau 919 unit kediaman baharu Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan dibina di seluruh negara menggunakan teknologi Sistem Binaan Industri (IBS).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun berkata angka itu adalah daripada jumlah keseluruhan 1,532 unit rumah PPRT yang akan dibina tahun ini.

“Prototaip rumah IBS yang dibina ini mampu mengurangkan kos pembinaan daripada RM56,000 kepada RM45,000 bagi setiap unit tanpa menjejaskan kualiti dan mutu rumah tersebut.

“Selain itu, saiz rumah PPRT menggunakan teknologi IBS juga kekal sama seperti sebelum ini, 600 kaki persegi dengan tiga bilik, mesra Orang Kelainan Upaya dan mesra alam dengan kapasiti tangki air lebih besar daripada 150 liter kepada 250 liter selain tempoh pembinaan lebih singkat selama empat minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Prototaip Rumah IBS Projek PPRT-KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R. Sivarasa.

Rina berkata pembinaan menggunakan teknologi IBS menjimatkan kos, sekali gus dapat menambah kira-kira 225 unit PPRT dengan peruntukan sama sebanyak RM200 juta bagi tahun ini untuk kediaman baharu dan diubah suai yang akan memanfaatkan 45,000 penerima.

“Sebagai kerajaan bertanggungjawab meskipun dalam keadaan kewangan negara hari ini, serta jumlah permohonan PPRT setiap tahun dianggarkan kira-kira 30,000 permohonan, kerajaan perlu kreatif dan inovatif dalam memberi perkhidmatan kerana kita mahu sediakan kemudahan yang baik untuk rakyat,” katanya.

Beliau, bagaimanapun berkata pembinaan PPRT menggunakan teknologi IBS tidak akan dilaksana bagi setiap PPRT, misalnya melihat kepada faktor lokasi seperti kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, yang akan hanya meningkatkan kos apabila bahan binaan dibawa ke sana.

Rina berkata melalui inisiatif itu juga, kementerian turut memperkenalkan Program Latihan Industri kepada pelatih di bawah KPLB seperti Giatmara dan institusi latihan di Lembaga Kemajuan Wilayah bagi melaksana projek PPRT.

“Institusi latihan akan bekerjasama dengan pihak kontraktor yang melaksanakan projek PPRT dengan memberi latihan dan menyelia pelatih dalam kerja-kerja pembinaan rumah PPRT seperti pendawaian elektrik, sistem perpaipan, struktur binaan dan sebagainya mengikut modul ditetapkan.

“Ini memberi nilai tambah kepada pelatih dengan kemahiran serta pengalaman sebenar di tempat kerja,” katanya.

Pada majlis itu, lima individu menerima surat tawaran unit kediaman PPRT.