Majlis Pecah Tanah GiatMARA Prima Melor

Pembinaan GiatMARA Prima Melor dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab di Ketereh di sini, adalah hadiah istimewa kepada penduduk Kelantan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meluluskan pembinaan dua institusi itu untuk manfaat rakyat khususnya masyarakat setempat.

Katanya, prasarana berkenaan juga akan menjadi pemacu kepada kecemerlangan pendidikan di Kelantan.

“Pembinaan GiatMARA membuka peluang kepada generasi muda untuk mendapatkan latihan dan kemahiran. Ini juga sebagai persediaan khususnya pelajar Bumiputera dalam bidang sains, profesional dan kritikal.

“Pembinaan MRSM pula untuk melahirkan generasi yang berkebolehan menghafaz 30 juzuk al-Quran serta memahaminya. MRSM yang menjalankan sistem pendidikan Ulul Albab, adalah kelima di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah serentak pembinaan GiatMARA Prima Melor dan MRSM Ulul Albab, Ketereh di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Awang Adek berkata, projek itu turut membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin dan mahu generasi muda menerima pendidikan terbaik untuk menjadi pewaris negara.

GiatMARA Prima dibina dengan peruntukan RM11.7 juta di atas tapak seluas 0.93 hektar, yang dijangka dapat menampung lebih 100 pelatih, manakala MRSM Ulul Albab pula dibangunkan dengan kos RM120 juta di tanah seluas 6.1 hektar.